Tuesday, August 23, 2011

doa Ramadhan # 24

Doa untuk anak-anak

Dengan namaMU Ya Allah
Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Ya Allah...di malam Ramadhan penghujung ini
Inginku rangkapkan lagi doa dan pengharapanku kepadaMu
Terutama buat anak-anakku

Ya Allah,
Kurniakanlah taufiq dan hidayahMu kepada anak-anakku
Kurniakanlah iman dan taqwa yang teguh, utuh dan kukuh dalam jiwa mereka
Kurniakanlah nikmat Islam yang agong sebagai pegangan hidup mereka
Semasa aku masih hidup dan setelah aku meninggal dunia
Peliharalah dan lindungilah mereka dari segala marabahaya dan petaka
Lindungilah mereka dari maksiat dan kecelakaan
Rahmatilah mereka sehingga hari kiamat

Ya Allah,
Bantulah aku mendidik anak-anakku dengan didikan Islam
Bantulah aku membentuk akhlak mulia mereka
Bantulah aku memberikan ilmu pengetahuan kepada mereka
Teguhkan iman anak-anakku untuk mendepani cabaran masa kini
Cabaran di zaman mereka
Cabaran mereka membentuk jati diri dan memilih kawan
Sesungguhnya aku tidak mampu menjaga dan mendidik mereka tanpa bantuan dariMu

YA Allah yang Maha Mengetahui
Tetapkanlah takdir yang baik dan sempurna untuk anak-anakku
Jadikan mereka anak yang soleh, beriman, berakhlak mulia
Jadikan mereka orang yang berjaya di dunia apatah lagi di akhirat
Jadikan mereka anak yang bertanggung jawab dan taat kepada ibu bapa
Jadikan mereka ahli masyarakat yang disenangi orang dan sentiasa menabur berbakti
Jadikan mereka orang kaya dan pemurah
Kaya ilmu sentiasa menyampaikan
Kaya harta sentiasa menderma
Kaya akhlak mulia sentiasa berbuat kebaikan

Ya Allah
Limpahkanlah rahmat dan kasih sayangMU kepada kami
Agar dengan itu kami tergolong dalam golongan
Orang-orang yang Engkau redhai...
Amin YA RABBAL'ALAMIN....


No comments: